Wednesday, November 16, 2011

Perubahan Persekitaran dan Cabaran

Persekitaran perburuhan dan corak pekerjaan sentiasa mengalami perubahan akibat dari pengaruh-pengaruh dalam negeri dan juga global. Mencipta, mewujudkan dan mengekalkan peluang pekerjaan dalam iklim pelaburan yang kondusif adalah penting untuk memastikan persekitaran pekerjaan yang sihat dan sekaligus memberikan manfaat kepada tenaga kerja. Penambahbaikan suasana pekerjaan menerusi pengurusan yang cekap dan mantap akan menyumbang kepada merealisasikan decent work untuk semua pekerja.

Globalisasi dan Perubahan Persekitaran Perburuhan
Globalisasi dan liberalisasi ekonomi telah mewujudkan pasaran perburuhan tanpa sempadan. Perkembangan telekomunikasi dan multimedia, pemusatan teknologi maklumat, peralihan kepada k-ekonomi memberikan tekanan untuk memperluaskan dan menambahbaik konsep urus tadbir bagi memenuhi kehendak stakeholders dan pelanggan.

Mewujudkan Iklim Pelaburan yang Menarik dan Mengekalkan Daya Saing
Perancangan untuk pembangnan negara dan pencapaian matlamat 2020 perlu mengambilkira
pembangunan global dan serantau. Suasana iklim pelaburan yang kondusif, kualiti dan kekompetenan tenaga kerja, dasar-dasar perburuhan dan persekitaran tempat kerja haruslah kekal berdaya saing untuk menarik pelabur, dan seterusnya mewujudkan jawatan-jawatan baru serta menambah peluang pekerjaan.

Menyediakan Pasaran buruh yang Dinamik
Perubahan dalam corak pekerjaan memerlukan pelbagai bentuk kemahiran baru untuk diterapkan dalam tenaga kerja yang bakal dihasilkan. Latihan kemahiran mestilah berkeupayaan untuk menghasilkan pekerja mahir bagi memenuhi keperluan pasaran buruh yang mengaplikasikan teknologi dengan pesat dan mendesak.

Mewujudkan Keseimbangan antara Fleksibiliti dan Sekuriti dalam Pengurusan Sumber Manusia
Dalam menghadapi persaingan global untuk mengekalkan daya saing ekonomi negara, adalah penting untuk memastikan dasar-dasar perburuhan dan perhubungan perusahaan negara memberikan
keseimbangan ke atas hak dan kepentingan majikan dan pekerja agar iklim pelaburan yang kondusif dapat diwujudkan dan kebajikan tenaga kerja dipelihara.

Mobiliti Buruh
Globalisasi yang telah mewujudkan dunia tanpa sempadan dan saling kebergantungan telah menyebabkan pergerakan buruh tanpa batasan. Kemasukan pekerja-pekerja asing yang kurang berkemahiran secara besar-besaran ke dalam pasaran buruh negara memberikan impak kepada tenaga kerja tempatan kerana kesediaan mereka menerima gaji yang rendah sesuai dengan kemahiran mereka. Strategi dan polisi yangdigubal perlulah jelas untuk menangani cabaran besar ini.

Persekitaran Kerja yang Harmoni
Pertikaian atau konflik memang tidak dapat dielakkan daripada berlaku di antara majikan dan pekerja. Justeru, adalah penting untuk mengimbangkan hak dan kepentingan dua golongan ini bagi memelihara perhubungan perusahaan yang harmoni. Hanya dengan wujudnya kerjasama ini, suasana pekerjaan yang baik dan selamat untuk para pekerja dapat dijamin dan seterusnya akan membantu meningkatkan prestasi dan produktiviti syarikat.

Kekompetenan dan Kebolehpekerjaan
Peranan yang dimainkan oleh pihak kerajaan dalam menganalisis kedudukan perburuhan dalam negara dan mengenalpasti dasar perburuhan akan membantu mengatasi kelemahan dan kekurangan dalam mewujudkan peluang-peluang pekerjaan. Dasar perburuhan dan pelan pembangunan kemahiran mestilah
meletakkan sasaran untuk menyesuaikan pembangunan kemahiran pekerja untuk memenuhi keperluan pekerjaan yang akan wujud.

Sistem Keselamatan Sosial Kebangsaan
Sistem keselamatan sosial yang konsisten dengan perkembangan ekonomi dan keperluan sosial negara perlu diwujudkan. Sistem ini tidak seharusnya tidak menjadi penghalang kepada penggajian dan menghakis daya saing syarikat tetapi adalah semata-mata bertujuan untuk menyediakan jaringan keselamatan sosial dan membantu pekerja.

Mengurangkan Kemalangan di Tempat Kerja
Pasaran pekerjaan yang berkembang pesat menjanjikan cabaran yang getir dalam menangani masalah peningkatan kemalangan di tempat kerja. Amalan-amalan terbaik Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH) perlu diterap dan dibudayakan di semua premis pekerjaan untuk mencapai sasaran zero accident.

No comments:

Post a Comment